USM tubuh kolej khas untuk wanita
Universiti Sains Malaysia (USM) merancang menubuhkan kolej khusus untuk wanita bagi memperkasa golongan itu dalam tempoh tiga tahun akan datang.Naib Canselornya Prof Datuk Dr Omar Osman berkata modul pengajian untuk penuntut kolej itu akan menjurus kepada bidang kemahiran dan akademik berteraskan pengajian gender.
"Ia bertujuan mengupayakan wanita memberi sumbangan dalam aspek sosioekonomi kepada masyarakat sekaligus menjadi pemangkin pembangunan negara," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan perutusan 2015 hari ini.
Mengambil contoh universiti wanita yang terdapat di luar negara seperti di Korea Selatan, Omar berkata program yang lebih fokus kepada kaum wanita seperti seni tenunan boleh diintegrasikan dengan bidang pengajian lain.
"Bidang seperti sains domestik atau sains rumah tangga mungkin boleh diubah suai dengan menambah modul pengurusan kewangan, pemasaran dan sebagainya," katanya.
Omar berkata perancangan itu juga selaras dengan pengenalan dua fakulti baharu bermula tahun ini iaitu Pusat Pengajian Sains Warisan dan Pusat Pengajian Sains Gaya Hidup yang dijangka boleh meningkatkan nilai tambah dan kebolehpasaran graduan.
Beliau berkata USM sedang mengenal pasti rakan kongsi strategik terdiri daripada institusi berasaskan wanita termasuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi merealisasikan penubuhan kolej itu.
Beliau optimis dengan rancangan itu memandangkan USM menerusi Pusat Pembangunan Penyelidikan Wanita (Kanita) telah lebih 30 tahun terlibat dalam kajian melibatkan hak dan kepentingan wanita.
Dalam pada itu, beliau berkata USM pada tahun ini akan memperluas program kerjasama dengan universiti luar antaranya dari Jepun dan Pakistan dengan memperkenalkan program ijazah berkembar dan ijazah bersama.
- Bernama
ไม่มีความคิดเห็น:
แสดงความคิดเห็น