Motorsports Knight kalah saman RM4.7 juta
Syarikat pengendali dan pembangun sukan permotoran, Motorsports Knights (M) Sdn Bhd hari ini kalah dalam saman RM4.7 juta yang difailkan terhadap Perbadanan Stadium Merdeka dan dua lagi berhubung kontrak membina dan membangunkan kemudahan pusat sukan bermotor di kawasan kompleks Sukan Negara di Bukit Jalil di Kuala Lumpur.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Hue Siew Kheng menolak saman itu di dalam kamarnya dengan dihadiri Peguam Kanan Persekutuan, Mohamad Zaid Daud, mewakili Perbadanan Stadium Merdeka dan peguam Mohd Firdaus Mohamood bertindak bagi pihak Motorsports Knights.
Mohamad Zaid memberitahu pemberita hakim membuat keputusan itu selepas mendapati syarikat Motorsports Knights selaku plaintif gagal membuktikan kes di bawah imbangan kebarangkalian.
Beliau berkata mahkamah memerintahkan plaintif membayar kos sebanyak RM40,000 kepada Perbadanan Stadium Merdeka, selaku defendan pertama dan RM40,000 lagi kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan kerajaan Malaysia iaitu defendan kedua dan ketiga.
Katanya mahkamah juga memerintahkan syarikat itu membayar ganti rugi am sebanyak RM100,000 kepada Perbadanan Stadium Merdeka selepas mahkamah membenarkan tuntutan balas yang difailkan perbadanan itu pada 2012.
Pada 13 Dis 2012, Motorsports Knights memfailkan saman RM4.7 juta terhadap Perbadanan Stadium Merdeka, KBS dan kerajaan atas dakwaan melanggar kontrak berhubung pembinaan pusat bermotor itu yang dikenali sebagai Integrated Motor Sports Centre (IMSC).
Dalam pernyataan tuntutan, syarikat itu mendakwa defendan pertama, Perbadanan Stadium Merdeka telah menganugerahkan kontrak pembinaan IMSC itu kepadanya di Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil.
Syarikat itu kemudiannya telah memasuki kontrak yang dikenali sebagai 'Sport Management Agreement' (SMA) bertarikh 18 Julai 2006 bagi pembinaan IMSC, dan syarikat itu mula menjalankan kerja pembinaan dan penyediaan dokumen.
Ia mendakwa perintah pembangunan IMSC juga telah diluluskan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bertarikh 21 Nov 2007 dan berikutan itu, ia juga telah memohon beberapa pembiayaan daripada institusi kewangan dengan menggunakan SMA sebagai dokumen sokongan bagi pembinaan IMSC.
Bagaimanapun, tempoh SMA itu tidak menepati syarat kelayakan bagi membolehkan pembiayaan diberikan dan susulan itu, plaintif telah membuat permohonan kepada defendan untuk mengubah tempoh perjanjian dalam SMA berkenaan.
Pada 8 Jun 2009, defendan pertama telah menamatkan SMA itu dan sehingga ke tarikh itu, plaintif telah membelanjakan lebih RM2 juta untuk kos penyediaan dokumentasi dan kerja-kerja awalan pembinaan.
Syarikat itu mendakwa walaupun SMA telah ditamatkan tetapi melalui perbincangannya dengan defendan pertama, plaintif masih boleh meneruskan kerja pembinaan di tapak itu sementara menunggu perjanjian baharu dengan memasukkan terma-terma baharu ditandatangani plaintif dan defendan pertama.
Justeru, plaintif memohon deklarasi bahawa wujud kontrak antara plaintif dan defendan pertama berdasarkan janji defendan pertama kepada plaintif selepas SMA ditamatkan.
Plaintif memohon ganti rugi berjumlah lebih RM4.7 juta untuk wang yang dibelanjakan bagi membuat persediaan dan kerja pembinaan yang telah dijalankan di atas tanah itu.
- Bernama
ไม่มีความคิดเห็น:
แสดงความคิดเห็น